Follow me

Instagram

Sunday, 16 February 2014

Unofficial Sound track : Aku, dia dan Pinky Promise

video

Lagu : Tetap Menantimu 
Penyanyi : Nomad
Lagu/ Lirik : ciptaan Akid dan lirik Poji
Gambar : City Hunter/Lee Min Ho


Novel akan datanggg... Aku, Dia dan Pinky Promise


Blurb :-

Mengisahkan seorang gadis lewat 20-an yang mengalami kehidupan yang berbeza dari apa yang dia angankan. Dia mengharapkan satu keajaiban berlaku dan membawa dia kembali ke zaman persekolahan dan membaiki segala kesilapan lalu. Ada 11 senarai ingin dia perbaiki andai dia kembali ke zaman itu. 
Apakah senarai itu? 
Dapatkan dia membaiki sejarah lalu? 
Adakah apa yang dia harapkan itu adalah yg terbaik utk dirinya?

Wednesday, 12 February 2014

Aku, Dia dan Pinky Promise : Bab 5

Bab 5

“Sal…”

Terdengar nama aku dipanggil. Badan aku digoncang perlahan. Terasa dahi aku disentuh. Ada tangan memicit-micit lengan dan kaki aku.

“Sal…”

Aku kenal suara tu, itu suara Lina. Aku cuba membuka mata, namun amat payah terasa seperti ada pemberat! Kenapa Lina ada dekat rumah aku ni? Bukankah dia pergi berbulan madu? Takkan dah balik?

 Kenapa ni asyik mimpi mengarut je? Eh, di mana aku sekarang? Aku cuba buka mata, tapi tiba-tiba kepala aku pula berdenyut-denyut.

“Mak cik, betul ke Sal tak ada apa-apa ni? Kenapa tak dihantar ke hospital je? Agaknya kesan jatuh hari tu masih ada.” Terdengar suara Lina bertanya.

Apa, aku ada di rumah? Jatuh? Oh, aku jatuh terguling dekat tangga Bukit St. John. Tapi lepas tu aku okey. Doktor cakap tak ada apa-apa.

“Dia dah baik, tadi kebetulan Rizal balik rumah mak Esah. Dia yang periksa Sal, katanya keadaan Sal stabil. Dia pengsan mungkin sebab semalaman dia tak makan.” Terdengar suara emak di sebelah kanan aku.

“Kenapa sampai pengsan? Semalam masa saya telefon dia cakap dah okey.” Terdengar suara Lina bertanya.

“Mak cik pun tak tahu yang peliknya, lepas dia tengok Sara dia menjerit. Dan lagi satu sebelum tu, dia terkejut tengok pak cik kamu. Mak cik pun hairan.”

Hah, lepas tengok Sara? Pak cik? Emak sebut pak cik? Maknanya memang ayah ada dan bukan aku bermimpi? Sekali lagi aku cuba membuka mata. Dengan susah payah, akhirnya aku berjaya melihat Lina dan emak.

“Ayah mana?” Tanya aku pada emak dengan suara serak hampir tidak terkeluar dari kerongkong.

“Ayah pergi kerja, nanti dia minta balik awal.” Jawab emak.

Air mata aku berlinang. Memang aku tak bermimpi. Ayah memang hidup. Tapi kenapa? Di mana aku sekarang? Aku bermimpi lagikah?

“Kenapa Sal, sakit lagi ke?” Tanya Emak. Merenung simpati. Aku menggeleng.

“Sara mana?” Tanya aku lagi sambil menyapu sisa air mata yang mengalir di pipi.

“Sara tak balik sekolah lagi, ada kelas petang hari ni,”jawab emak.

“Kak long?”

“Tadi kak long telefon, kalau keadaan kamu teruk dia nak ponteng kelas. Tapi mak cakap kamu pengsan je, jadi lepas kelas dia balik,” balas emak.

“Kak long pergi belajar ke pergi mengajar?” Tanya aku sekadar ingin menguji emak.

Sebaik tamat pengajian di kolej kak Nora menjadi seorang guru dan mengajar disalah sebuah sekolah menengah di Melaka.

Emak menghela nafas perlahan, “Kakak kamu pergi belajarlah. Nak mengajar apanya, ijazah pun tak dapat lagi.”

Jawapan emak membuat hati aku semakin kuat berdegup. Sah, aku bukan berapa ditempat yang sepatutnya!

Tapi, bagaimana aku boleh ada dekat sini?

“Kamu jaga dia Lina, mak cik ada kerja nak siapkan. Kamu layan saja kalau dia tanya soalan pelik-pelik.”

Terdengar emak berbisik di telinga Lina. Aku tahu, emak sengaja biarkan aku dengar. Lina tersenyum kecil mengangguk.

Aku memandang Lina. Memang sah, aku bukan berada di tahun 2013! Muka Lina pada tahun 2013 penuh dengan parut jerawat. Sekarang kulit muka dia licin dan gebu!

Seingat aku, Sara memakai uniform sekolah berwarna hijau ketika dia darjah enam. Dia dipilih sebagai pengawas sekolah. Bukan main bangga dia bila dilantik menjadi pengawas sekolah.

Jadi, kalau aku kira, tolak, campur, darab, bahagi, kuasa dua kemungkinan aku berada di tahun…

1998!

Aku memandang Lina.

“Beb, sekarang tahun 1998 ke?” Tanya aku.

Dahi Lina berkerut-kerut. Kemudian dia mengangguk. Serentak itu mata aku terbeliak. Hati aku menjerit kesyukuran. Ini maknanya permintaan aku untuk mengulang kembali zaman persekolahan benar-benar termakbul?

Aku bingkas bangun, semangat aku mencanak naik. Eh, kejap, tak mungkin kerana permintaan aku dekat perigi tu? Tak logik! Syirik tu. Aku dah taubat, memang aku tak akan ulang lagi. Tapi... bagaimana aku boleh berada di zaman ni?

Oh, patutlah mandian aku lain. Patutlah kulit muka aku lebih gebu. Kening aku masih original. Patutlah ada sabun susu kambing! Patutlah bilik aku lain macam! Patutlah... patutlah!

Aku menggeleng kepala beberapa kali. Apakah sebenarnya terjadi? Aku menarik nafas dalam, lepas perlahan-lahan.

“Macam mana aku boleh pengsan?” Tanya aku pada Lina.

 “Kau tak ingat?” Dahi Lina berkerut. Aku menggeleng. “Hujung minggu baru ni kelas kita ada buat lawatan ke tapak bersejarah di Melaka...”

“Lawatan ke Melaka?” Tidak berkelip aku memandang Lina. Seingat aku tak pernah pun kami buat lawatan ke Melaka. “Apa terjadi?”

“Masa kita nak turun dari bukit St. John hujan turun tiba-tiba. Basah kuyup kita bertiga. Esok tu kau demam. Kau tak ingat?” Berkerut dahi Lina memandang aku.

“Kita buat apa dekat bukit tu?”

“Tengok puing gereja St. Paul. Sebelum tu kita ke A Famosa, ke muzium,” jelas Lina sambil dahinya berkerut-kerut. “Kau okey tak ni?”

“Okey. Okey. Aku ingat,” jawab aku berdalih.

Betul ke kelas aku pernah buat lawatan ke sana? Macam mana aku boleh lupa? Apa pun terjadi lupakan dulu, yang penting aku masih hidup dan aku perlu catat azam aku tu.

“Mana pen? Kertas?” Aku menyelak kain selimut yang menutupi sebahagian badan.

Lina lekas-lekas menahan aku dari bangun. “Kejap, kau dah baik ke ni?” Tanya Lina wajahnya kelihatan cemas.

Aku mengangguk, tersenyum gembira.

“Kertas, kertas?” Mata aku liar mencari kertas di atas meja.

“Kejap aku tolong ambil, kau duduk sini.”

Dia segera menghampiri meja tulis aku, kemudian menghulurkan sehelai kertas dan sebatang pen kepada aku.

Tanpa menunggu lama, aku segera mencatat segala senarai yang aku pernah tulis ketika aku berusia 32 tahun. Aku berhenti menulis.

 ‘Ketika aku berusia 32 tahun?’

Haish… yang mana realiti dan yang mana fantasi sebenarnya ni? Kenapa seperti baru semalam aku berada di majlis persandingan Lina di Melaka? Memerhati selat Melaka dari bukit St. John? Melihat Lina bergambar.

Adakah dunia semalam adalah mimpi atau dejavu dan dunia sekarang adalah realiti? Ah! Pening!

“Kau tulis apa ni?” Lina menjenguk kertas di tangan aku.

Aku segera sembunyikan dari dilihat Lina. “Kejap, aku tak tulis habis lagi. Nanti dah siap aku bagi kau baca. Kau pergi turun dulu. Ambilkan air, aku haus sangat ni.”

Minta aku, sengaja aku mahu dia berada jauh. Aku nak fokus betul-betul sebelas niat aku itu. Harap-harap aku tak lupa.

Lina mendengus perlahan. “Okey.” Dia menarik wajah masam kemudian bergegas keluar.

Selepas lima minit, Lina kembali ke dalam bilik bersama dua gelas air dan sepinggan kuih kacang. Aku sangat rindukan kuih kacang. Sejak ayah pergi emak tak pernah lagi buat kuih kacang. Pernah aku minta emak buatkan tapi sudahnya, hanya aku seorang saja yang habiskan kuih ni manakala emak hanya memberi alasan dia sudah kenyang. Tapi aku tahu emak hanya berdalih. Emak mungkin tak sanggup nak makan sebab teringatkan ayah.

 Dan kali ini, bila melihat kuih ini berada di depan aku, aku yakin aku betul-betul berada di tahun 1998. Tahun ketiga emak menerima kontrak menyediakan kuih-muih untuk kantin sekolah. Tapi, macam mana aku boleh ada dalam tahun ini? Tak masuk akal! Kalau dalam filem atau drama mungkin aku percaya, tapi…

“Sal, ni aku bawakan kerja sekolah yang cikgu bagi semalam,” Lina mengeluarkan buku dari bag kertas yang dibawanya.

“Semalam? Semalam hari apa?” tanya aku terpinga.

Lina memandang kehairanan pada aku. Wajahnya berubah. “Selasa.” Jawab Lina perlahan.

Aku sempat menangkap anak matanya memandang ke arah meja tulis. Aku turut memandang ke arah yang sama.

Kelendar 1998!

“Tolong ambil.” Minta aku pada Lina.

Lina menurut dan kemudian menyerahkan kalendar itu kepada aku.

“Sekarang bulan apa?” Tanya aku pada Lina.

Bulat mata Lina membalas renungan aku.

“Kau nak aku panggilkan mak kau ke?” Lina memandang curiga.

“Cakaplah bulan apa sekarang ni?” Aku mencerlung.

“Januari.” Balas Lina ragu-ragu.

Lantas mata aku memandang kalendar di tangan. Minggu ke dua Januari 1998?           Serentak itu aku teringatkan senarai hajat yang aku tulis kelmarin… (erkk… kelmarin?)

1.            Ubah aliran! Jangan ambil aliran sains!

“Beb, kau kena tolong aku.” Aku mula cemas. Persoalan bagaimana aku boleh tercampak dalam tahun ini kena tolak tepi dulu.

“Kenapa? Kau sakit ke?” Tanya Lina segera memegang lengan aku.

Aku menggeleng. “Aku tak mahu buat kerja sekolah tu. Aku nak tukar aliran!” Aku memegang erat tangan Lina.

“Kau agak cikgu bagi tak?” Tanya aku lagi.

Lina terdiam seketika, dia merenung tepat pada wajah aku. “Walau pun mak kau pesan layan je kalau kau cakap perkara yang bukan-bukan, tapi kali ni… memang aku malas nak layan!” Lina mencemik menarik tangannya dari dalam genggaman aku. Berpeluk tubuh, merenung tajam.

“Lina kau kena tolong aku. Aku tak mahu ambil aliran sains. Aku nak tukar! Aku nak ambil perdagangan atau pun sastera,” balas aku bersungguh-sungguh. “Esok, awal-awal pagi kau temankan aku ke bilik cikgu, ya?” Minta aku separuh merayu.

“Sal, boleh tak kau jangan nak mengarut? Kalau kau main-main, aku balik sekarang juga!” Lina mengugut.

“Aku tahu, memang tak pernah dibuat orang. Tukar aliran masa tingkatan lima, tapi… aku sungguh-sungguh tak mahu belajar sains. Aku tak minat. Nanti dalam sijil SPM, fizik dan kimia aku dapat D. Bio pula cukup-cukup makan je!”

Aku diberi peluang untuk membaiki kesilapan. Walau apa pun terjadi aku tak akan ulang kesilapan yang sama.

“Aku rasa, kau sepatutnya pergi hospital. Nanti aku panggil mak kau.” Belum pun sempat dia bangun, aku segera memaut lengan Lina.

“Beb, aku okey sangat. Jangan risau. Tapi aku serius nak tukar aliran ni,” ujar aku merayu.

Lina memandang curiga.

“Oh, please! Aku okey, jangan risau,” ujar aku bersungguh-sungguh.

“Mestilah aku risau, dah lah kau baru pengsan. Bila sedar buat keputusan melulu macam ni. Aku tak risau kau nak tukar aliran, tapi aku risau kecederaan dalam otak kau tu. Aku tak mahu dua tiga hari nanti aku dengar berita…” Dia diam.

Aku tahu apa yang ada dalam fikiran Lina.

“Aku akan hidup sampai umur 32 tahun. Kau tak payah risau,” balas aku dengan penuh yakin.

Lina menjeling tajam. Berpeluh tubuh.“Kau serius nak tukar? SPM tinggal sebelas bulan saja lagi. Pejam celik pejam celik dah masuk dewan peperiksaan. Kau ni biar betul?”

“Ya, betul. Aku nak tukar!” balas aku.

Lina mencerlung. “Kalau tukar pun, agak-agak kau boleh cover ke semua subjek yang dia orang dah belajar tahun lepas? Jangan nanti kau gagal semua paper.” Lina terus merenung aku.

We cannot always wait for the perfect time, sometime we must dare tu jump.” Aku teringat kata-kata yang di tampal di kubikel tempat kerja aku.

“Even though, terjun perigi?”

“Yup, kalau dah terpaksa.”

Lina menggeleng kepala beberapa kali. “Lantak kau lah.”
“Beb, aku tahu kita tak boleh menyesal kesilapan yang pernah kita buat dulu. Tapi, aku akan menyesal kalau aku terus lakukan kesilapan yang sama.” Ujar aku cuba membuat Lina faham.

“Fine. it’s your life. Buatlah apa yang kau rasa patut kau bust.”

“That’s my girl.” Aku tersenyum. “Nanti teman aku ke rumah Hanim. Aku nak pinjam semua nota dia, aku nak mula belajar malam ini juga,” ujar aku bersungguh-sungguh.

Lina memandang aku dengan pandangan yang menjengkelkan. Tapi aku tak peduli semua itu, yang penting aku tak perlu ulang kesilapan yang sama.       
 
“Mak kau tak cakap pula kepala kau terhantuk atau kau terjatuh di mana-mana,” balas Lina mengaru kepala.

 Aku tahu, dia perli sebenarnya tu.

“Alar, bolehlah, kau teman aku. Kalau aku pergi seorang nanti aku pengsan tengah jalan tu macam mana?” Sengaja aku mengugut Lina.

Lina mendengus kasar. “Okey! Tapi, kau kena belanja minum ABC bawah pokok,” ujar Lina mencemik.

Sebaik sahaja mendengar nama ABC bawah pokok, mata aku terbuka luas.

“ABC tu ada lagi?” Segera aku menutup mulut aku yang terbuka luas.

“Kau ni kenapa? Mestilah ada. Baru dua tiga hari lepas kita lepak dekat sana,” Lina menjeling. Dahinya berkerut-kerut.

“Kalau macam tu jom aku belanja kau. Dua mangkuk kau nak minum pun aku tak kisah,” Aku bingkas bangun.

“Kau betul-betul dah okey ni?” tanya Lina, pandang semacam dekat aku.

Aku angguk. Tak sabar-sabar hendak menikmati ABC bawah pokok yang sedap itu. Sejak mak Limah berpindah ke Seremban lima belas tahun lepas, tak ada lagi ABC lain yang dapat mengalahkan kesedapan ABC mak Limah yang kaya dengan pelbagai ramuan.



Bersambung... 

P/s : Salam semua pembaca... setakat sampai bab 5 ni, agak2 korang rasa meleret tak? Rasa boring tak? Kalau korang rasa boring bagitahu ya, nanti saya delete semua scene yg boring.

Aku... dia dan Pinky Promise : Bab 3 & 4

Bab 3


Aku  tersentak. Ah! Mimpi buruk lagi. Sejak akhir-akhir ni kerap sungguh bermimpi terjatuh dari tempat yang tinggi.

Tangan aku terus meraba-raba mencari telefon bimbit di bawah bantal. Memang sudah menjadi tabiat, meletak telefon bimbit bawah bantal supaya cepat bangun subuh. Mana pula ni? Tangan terus meraba.

Aha! Jumpa pun.

Namun sebaik saja melihat objek itu, aku terpinga. Siapa pulak letak jam loceng besar gedabak bawah bantal ni? Mana perginya telefon bimbit aku?

Dalam keadaan mamai, aku melihat jam loceng itu. Tepat pukul 5.55 pagi. Patutlah rumah sunyi sepi. Kembali menutup mata. Ada masa setengah jam lagi sebelum bangun, solat subuh. Mandi pada pukul tujuh pagi dan kemudian bersiap ke tempat kerja.

Tapi tak sampai pun satu saat terlelap tiba-tiba terdengar suara emak melaung memanggil nama aku.

“Siti Saleha! Bangun!”

Alah, mak ni, potong sungguh. Aku segera menarik kain selimut lalu menutup seluruh badan, dari hujung kaki sehingga ke hujung kepala. Sikit lagi mak, sikit je lagi. Terus pejamkan mata.

“Sal! Kamu macam mana dah sihat?” Kali ini suara mak betul-betul melekat pada gegendang telinga.

Aik, lajunya emak naik tangga. Sebelum ni asyik merunggut sakit lutut. Serentak itu terasa sejuk tangan emak menyentuh dahi aku. Aku buka mata. Pandang emak dengan wajah hairan.

“Sihat, tapi bila mak tanya macam tu, tiba-tiba rasa macam tak sihat je?” balas aku mengusik.

Emak mencemik.

“Kalau dah sihat bangun! Kamu nak peram apa lagi mata tu? Dah pukul enam! Takkan hari ni nak cuti lagi!” Suara emak memang nyaring, mengalahkan suara Azlan and the typewriter!

“Alah, mak awal lagi. Solat subuh pukul 6.30 pun boleh.” Kembali menarik kain selimut tapi laju pula tangan emak menghalang.

“Kamu ingat melambat-lambatkan solat tu tak berdosa ke!” Emak mencerlung. Bercekak pinggang.

“Alar, orang mengantuk ni, tak cukup tidur. Penat jalan-jalan dekat Melaka tak hilang lagi. Kaki ni sakit lagi.”

Eh, kejap. Kenapa kaki aku dah tak sakit ni? Pelik.

“Tak cukup tidur apanya, semalam dah seharian kamu rehat dan tidur kat rumah ni. Tak ada… bangun sekarang juga!” Suara mak menyucuk masuk ke telinga.

Aku mengosok-gosok telinga yang tiba-tiba terasa gatal.

“Mana ada orang rehat pun, semalam sampai lambat.” Keluh aku.

Teruk betul doktor tu, dia kata kaki aku bengkak sikit saja. Aku punyalah sakit separuh nak mati. Ingatkan bolehlah dapat cuti sakit hari ni.

“Kamu jangan nak bergurau pagi-pagi buta ni. Cepat bangun. Dua hari cuti, hari ni kamu tak boleh cuti lagi.” Balas emak, nada suaranya sedikit menurun.

“Ha? Sal cuti semalam? Mana ada. Doktor tak bagi mc pun. Doktor kedekut!”

“Haish budak ni, kedekut apanya dah dua hari cuti. Cukup-cukuplah tu.” Emak menjeling kemudian mengutip beberapa biji cawan yang ada di atas meja tulis. “Cepat bangun, nanti kamu lambat.” Pesan emak sebelum melangkah keluar.

“Mengarut je mak ni. Semalam baru balik dari Melaka.” Melopong aku memandang emak.

“Kamu jangan nak mengada-ngada! Cepat bangun! Mak nak kejutkan adik kamu pula ni.”

Sebaik sahaja mendengar perkataan ‘adik’ aku terus membuka selimut yang menutupi sebahagian tubuh.

“Bila adik balik mak?” Tanya aku teruja.

Setahu aku bulan depan baru Sara balik? Takkan dia buat kejutan untuk aku pula? Hari jadi aku lambat lagi. Tiba-tiba hati aku teruja, terbayangkan ipad terpakai yang Sara janji hendak beli di UK tempoh hari.

Mak menjeling tajam pada aku. “Kamu ni kenapa? Mimpi lagi?”

“Pukul berapa adik sampai mak? Siapa ambik dia?” Tanya aku di birai katil, mata segar-bugar.

Aku bingkas bangun hendak keluar dari bilik, tak sabar nak jumpa Sara. Mesti banyak buah tangan lain dia belikan untuk aku dan emak.

“Makin menjadi-jadi perangai kamu ni. Hey, nak kemana tu? Mak suruh mandi, cepat!” Emak  bercekak pinggang, memerhati aku yang ingin menapak turun ke tingkat bawah. Jelingan emak memang menakutkan. Langkah kaki terhenti serta-merta.

Kenapa emak ni? Selama ni tak pernah pula emak menjeling sampai nak terkeluar biji mata?

“Termenung apa lagi? Cepat mandi!”Emak menjegil matanya.

Perlahan-lahan aku mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu. Memandang kehairanan pada emak, kemudian emak keluar dari bilik bersama baju kotor. Selama ini tak pernah pun beria-ia nak kejutkan aku bangun pagi. Rajin pula emak tolong kutip baju kotor aku?

Aku menggeleng kepala, melangkah malas ke bilik mandi yang terletak di luar bilik. Satu-satunya bilik mandi di bahagian atas yang kini menjadi hak mutlak aku semenjak adik aku Sara melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan semenjak kak Nora dan keluargannya berpindah ke Melaka.

 Namun sebaik sahaja masuk ke dalam bilik air aku mula terasa pelik. Pertama, kenapa tuala aku lain? Kedua, sejak bila aku pakai sabun mandi ni? Siapa curi krim mandian aku? Syampu! Siapa tukar syampu kegemaran aku ni!

“Mak! Mana shower orang! Siapa ambil syampu orang ni!” Jerit aku membuka sedikit pintu bilik mandi yang terletak di tengah-tengah antara bilik aku dan dan bilik tidur emak.

“Eh, budak ni, tak habis-habis mengigau. Cepat mandi! Tak ada siapa pun nak curi dan tukar syampu kamu tu!” 

Terdengar suara emak dari bawah. Aku mencemik, menutup pintu bilik air dengan hati yang sebal. Aku paling tak suka syampu ni, buat rambut aku jadi keras!

Zaman sekolah dulu haruslah aku pakai syampu ni sebab poket aku nipis, sekarang ni, tak mainlah syampu cikai ni. Sabun ni pun satu hal, kulit orang berusia 32 tahun macam aku ni mana boleh pakai sebarangan, nanti kering. Dahlah tak kahwin lagi, nanti suami aku tak terliur sentuh kulit aku yang kering kontang. Tapi, nak tak nak terpaksa pakai juga. Malas nak turun ke bilik air di bawah.

Eh, mana pencuci muka aku ni? Aku terus membelek shower holder, yang ada hanyalah…

Sabun susu kambing?!

Alahai, siapa pula ketinggalan zaman ni? Setahu aku zaman sekolah dulu je pakai sabun ni. Aduhai, ni mesti Sara rembat semalam masa aku tidur ni. Hendak turun ke bilik mandi bawah pun, badan aku dah penuh dengan sabun ni.

“Siap kau Sara, lepas ni teruk akak membebel.” Eh, tapi aku tak boleh marah dia, nanti dia tak nak bagi ipad tu!

Eh, kejap… aku membelek-belek wajah di cermin. Kenapa kulit aku licin semacam saja ni? Wah… krim yang aku beli minggu lepas akhirnya berkesan!

Alahai, kening aku ni berserabut! Seharian tak belek muka takkan dah tumbuh? Tapi… macam cantik juga kalau kening ni aku tak cantas. Patutlah mak kata muka aku nampak macam orang sakit bila cantas kening. Memang betul pun, muka aku sekarang nampak lain, berseri-seri. Lepas ni tak payah cantaslah. Berdosa! Bila lagi aku nak insaf, kan? Cantas kening dilaknat Tuhan, berapa kali mak pesan. Tapi aku saja keras kepala.

Okey, mulai hari ni aku akan cuba berubah. Nature beauty!



Bab 4

Selesai mandi dan menunaikan solat subuh, aku termenung seketika memerhati setiap sudut bilik. Kenapa lain macam sangat bilik aku ni? Emak ada ubah apa-apa ke? Eh, cadar ni, bukan ke sudah buruk dan aku dah buang? Macam mana boleh elok lagi ni?

Mata aku beralih pula pada meja tulis dan rak buku yang melekat di dinding. Apa yang lain pada meja aku tu? Aha, lampu meja! Bukan ke dah rosak lima tahun lepas? Macam mana boleh elok atas meja aku ni?

Aku menoleh ke arah rak buku. Sebaik saja melihat buku-buku yang tersusun di rak, serta-merta mata aku terbuntang.

Kenapa emak susun balik buku teks sekolah aku ni? Aku dah susun kemas dalam kotak dan letak dalam stor lagi, rajin sungguh emak ni. Menyemakkan rak buku aku saja. Mana pula mak letak novel-novel kesayangan aku?       
   
Mata aku terus melilau mencari novel kesayangan aku. Rak bawah, rak atas, bawah meja, bawah katil, tak ada! Mana emak letak ni?

Alahai, pagi-pagi emak dah buat kepala aku berpusing. Aku segera membuka kain telekung. Ini pun satu, bukan ke aku dah buang penyidai ni? Buat menyemak bilik saja.

Mana karpet dalam bilik ni? Takkan mak hantar dobi? Langsir pun… alahai mak, kenapa rajin sangat cuci semua barang dalam bilik ni?

“Sal! Cepat, dah nak pukul tujuh ni! Turun makan, kejap lagi bas sampai!” Terdengar suara emak menjerit dari bawah.

Bas? Mak nak pinjam kereta aku ke? Aku menjeling jam loceng di atas meja. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 6.45 pagi. Jam ini pun satu, rasanya dah lama aku buang macam mana boleh ada dalam bilik ni?

Argh!Pening!

Semakin lama aku tilik bilik ni, semakin pening kepala aku dibuatnya. Aku bergegas keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Dari tangga aku sudah terhidu aroma nasi lemak yang ini memang tak buat aku pening, sebab nasi lemak emak memang terbaik! Dulu, kini dan selamanya.

Ketika tiba di meja makan, aku terpegun tengok emak yang sedang asyik menyeduk nasi lemak ke dalam pinggan. Terasa macam dejavu pula. Wajah emak pun kelihatan segar dan ceria, berbeza dengan wajah emak semalam.

“Kamu tercegat apa lagi? Cepat makan,” panggil emak.

 Namun kemudian dahinya berkerut-kerut memandang aku.

“Sal, kenapa tak siap lagi ni? Nanti lambat kamu juga yang susah! Cepat pergi salin baju.” Mak mencapai teko kemudian menuang air ke dalam cawan.

“Mak nampak lain hari ni, makin cantik.”

Puji aku masih tak puas menatap wajah emak yang kelihatan berseri-seri. Mungkin sebab terlampau gembira menerima kepulangan Sara. Kalau dulu aku cemburu, yalah, tiap-tiap hari mulut emak asyik sebut nama Sara. Tapi sekarang aku dah biasa, malah aku pun sering rindukan adik aku yang seorang itu.

“Kamu jangan nak berdalih, kamu pujilah emak melangit sekali pun, jangan harap kamu boleh ponteng hari ni.” Emak menjeling tajam.

Aku tersengih sambil menarik kerusi.

“Bila pula orang cakap nak ponteng ni, tak sanggup orang nak kena potong gaji yang dah seciput tu.” Keluh aku lantas menceduk nasi lemak ke mulut.

Emak menjeling, berkerut dahi memandang aku.

“Mana Sara ni tak turun lagi ni, orang tak sabar nak tengok ipad,” ujar aku tersenyum teruja.

Sekali lagi emak menjeling pelik. Berkelip-kelip aku membalas jelingan emak. Kemudian emak menggeleng kepalanya.

“Sal... kamu dah lambat sangat ni. Cepat pergi salin baju. Nanti mak letak lebih nasi lemak ni dalam bekas, kamu makan di sekolah nanti,” balas emak terus ke dapur.

Sekolah? Aku berhenti mengunyah. Mengaru kepala tidak gatal.

“Buat apa ke sekolah mak? Ada apa?” Tanya aku hairan.

Emak yang baru keluar dari dapur memandang tidak berkelip. Di tangannya terdapat bekas makanan yang sering aku guna ketika bersekolah dulu. Eh, ada lagi bekas tu?

Emak menghela nafas perlahan, menggeleng kepala.

“Kamu jangan nak buat lawak pagi-pagi buta ni, Sal. Cepat pergi salin baju.” Emak segera menarik pinggan aku, semua nasi lemak diletak dalam bekas makanan tadi.

“Sal tak habis makan lagi.” Aku memandang kehairanan. Sudu masih berada dalam mulut.

“Dah lambat ni, tengok jam tu, kejap lagi bas sampai, cepat lah!” Emak mencerlung.

Aku terkaku. Emak ni biar betul?

“Mak memang sungguh-sungguh nak Sal pergi sekolah ke?” tanya aku terpinga-pinga merenung wajah serius emak.

Dari air muka emak, memang aku tahu emak tak main-main. Tapi kenapa sekolah? Kalau halau aku ke pejabat aku tak hairan pula tapi, sekolah? Takkan emak dah nyanyuk? Emak muda lagi. Baru 53 tahun.

“Memang sakit jiwa kalau melayan kamu ni. Kamu dengan ayah kamu sama saja, bergurau tak kena tempat.” Emak menggeleng kepala.

Sebaik saja emak menyebut perkataan ‘ayah’ serta-merta jantung aku seakan terhenti berdegup. Aku menelan air liur sayu, namun lekas-lekas aku menghalau rasa sayu itu.

“Tapi, buat apa Sal ke sekolah? Ada majlis apa? Kenapa mak tak cakap awal-awal, kalau tak Sal boleh minta cuti. Kalau Sal minta EL nanti tak fasal-fasal bos Sal mengamuk.” Aku mencemik.

Dan sekali lagi emak menjeling. Kali ini jelingannya sangat tajam. Aku memandang wajah emak. Tak pernah aku tengok emak menjeling macam tu. Ini memang nak marah sangat ni!

“Eh! Budak ni memang nak kena!”

Gedebuk aku kena hempuk dengan bekal di tangan emak.

“Mak sakitlah!” jerit aku mengosok-gosok lengan.

“Ni hati mak lagi sakit nak melayan kamu ni! Dah berbuih mulut mak suruh kau pergi tukar baju. Masih nak main-main lagi!” jerit mak pula.

Sekali lagi aku terpinga. Memang emak betul-betul nak suruh aku pergi sekolah ni. Tapi ada majlis apa? Kalau majlis perjumpaan bekas pelajar tu lambat lagi. Takkan diawalkan pula? Atau, emak ada nak hantar tempahan makan ke sekolah? Tapi setahu aku sudah lama emak tak ambil kerja-kerja membuat kuih untuk kantin sekolah ni.

“Termenung apa lagi ni!” Sekali lagi emak menjerit.

Aku tersentak.

“Okeylah, orang pergi tukar sekarang. Tapi tak apa kan kalau orang pakai baju kemeja ni dan seluar jeans? Atau perlu pakai baju kurung?” tanya aku.

Aku terus memandang emak. Kalau setakat nak hantar emak ke sekolah aku pakai selekeh pun tak apa, tapi kalau emak nak suruh aku masuk ke pejabat sekolah kena pakai yang sopan sikit. Kalau bertembung dengan bekas guru aku dulu, tak adalah malu nanti.

Bulat mata emak memandang aku.

“Sal!”

Jeritan emak bergema satu rumah, silap-silap satu taman pun boleh dengar suara emak.

“Apa bising-bising ni? Dari tadi abang dengar, tak habis-habis lagi ke kamu menyakat emak kamu ni?”

Tiba-tiba terdengar satu suara yang sangat-sangat aku kenal dan sangat-sangat aku rindu. Tiba-tiba sahaja bulu roma aku meremang. Aku memandang wajah emak.

Tak mungkin!

Emak tersenyum sinis pada aku, membuat isyarat muka yang sudah lama aku tak pernah lihat emak buat. Isyarat seperti ‘Hah, padan muka!’

“Abang, tolong tegur anak awak ni. Nak bergurau tak kena tempat,” emak menjeling.

Serentak itu jantung aku berdegup kencang. Tangan aku mula terketar-ketar. Perlahan-lahan aku menoleh. Sebaik sahaja aku melihat wajah itu, mulut dan mata aku terbuka luas. Rahang aku dah mencecah lantai!

“Ayah?” Aku berbisik.

Terkejut melihat ayah berdiri tidak jauh dari meja. Ayah menaikkan keningnya pada aku.

 “Ayah?” Ulang aku lagi seakan tidak percaya.

Aku bingkas bangun, menolak kasar kerusi yang sedang aku duduk. Tercegat merenung wajah ayah. Aku segera mengosok mata berkali-kali, namun ayah tetap berada di depan aku. Kamudian, berkali-kali aku cubit lengan dan pipi. Memang terasa sakit. Ini bermakna aku tak bermimpi! Aku memandang emak dan ayah bersilih ganti.

“Kamu ni kenapa Sal?” tanya emak, wajahnya kelihatan cemas.

“Mak…” panggil aku sebak. “Ayah mak… ayah!” Aku menoleh pada ayah dan emak bersilih ganti.

“Ya, mak tahulah itu ayah. Kamu ni kenapa? Macam nampak hantu?” Kali ini suara emak mendatar.

“Memang itu ayah ke mak?” soal aku lagi tak percaya.

Tiba-tiba aku teringkatkan siri supernatural yang baru bulan lepas aku tonton kesemua musim ke lima. Dalam musim itu, Dean hidup kembali. Keluar dari kubur. Dalam kepala aku mula terbayang salah satu episod dari supernatural di mana ahli keluarga yang sudah mati hidup kembali dan pulang ke rumah.

Tapi, itu cerita, memang karut, sekarang bukan cerita, realiti. Macam mana, ayah… boleh… ada… depan aku? Aku sedang bermimpikah?

“Mak, cepat kejutkan Sal mak, cepat mak!”

Air mata aku mula berlinang. Andai benar apa yang aku alami kini adalah mimpi. Ini bermakna, inilah mimpi yang paling indah yang aku inginkan, tapi…

Gedebuk! Sebijik tumbukan berpadu dari emak hinggap di lengan aku. Sakitnya!

“Dah bangun?” Emak menjeling sinis.

Aku menoleh pada emak. Tak berubah. Aku masih berdiri di ruang makan, berdepan dengan ayah yang kelihatan terpinga-pinga dan wajah emak masih bengang seperti tadi.

“Sal tak mimpi?”

Aku memandang wajah ayah. Terharu. Tiba-tiba air mata aku kembali berlinang. Tanpa menunggu lama aku meluru ke arah ayah. Peluk ayah sekuat-kuatnya.

“Ayah, Sal rindu ayah.” Ujar aku teresak-esak. Terus memeluk ayah, aku akan peluk ayah sepuas-puasnya.

Mana mungkin aku dapat peluang ini lagi. 10 tahun lalu ayah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Sejak detik itu tidak pernah sehari pun aku lupakan ayah. Setiap saat, ayah sentiasa di hati aku. Ayahlah lelaki yang paling rapat dan terbaik dalam hidup aku. Ketika menerima berita pemergian ayah, aku demam hampir sebulan. Sehingga kurus kering.

“Sal…” panggil ayah menyentuh bahu aku.

Suara ayah kedengaran seperti teragak-agak. Aku mendongak. Terlihat ayah tersenyum. Air mata aku semakin laju turun membasahi pipi. Aku tak peduli sama ada ini mimpi atau pun apa sekali pun, tapi aku sangat-sangat menghargai waktu ini.

“Sal, ayah tahu Sal rindu ayah. Ayah pergi seminggu je, takkan sampai macam ni Sal sambut ayah? Selama ni kalau ayah balik dari outstation tak pernah pun Sal nak peluk macam ni?” Ayah memandang kehairanan, kemudian ayah memandang emak. Aku turut memandang emak.

“Mak tak mahu peluk ayah ke?” Tanya aku pada emak yang berkerut dahi memandang aku. Ayah ketawa mengekek.

“Awak nak peluk abang tak?” Tanya ayah dengan nada bergurau sambil membuka lengannya mengajak emak.

Bulat mata emak merenung ayah, mulut emak terbuka luas. Aku ketawa lucu melihat wajah emak.

“Mak cepatlah! Sekali boleh peluk ayah, baik kita peluk sepuas-puasnya.” Panggil aku menghulur tangan aku pada emak yang jaraknya tidak jauh dari aku.

Aku terus menarik tangan emak dan mengajak bersama aku memeluk ayah. Aku tahu, selama ini emak sangat rindukan ayah. Walau pun emak senyum, aku tahu hati emak sunyi semenjak pemergian ayah.

Emak ketawa gembira, ayah turut sama ketawa. Alangkah indahnya saat ini, andai boleh dihentikan waktu akan aku  hentikan saat ini selama-lamanya. Namun, itu semua hanya angan-angan. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu jeritan yang nyaring.

“Tidak!”

Ayah dan emak segera menoleh. Ayah segera melepaskan pelukkan. Aku tahu, mesti Sara pun terkejut melihat ayah. Biarkan, aku nak terus peluk ayah.

“Kenapa nak berdrama pagi-pagi ni?” Terdengar suara kecil sinis menyapa.

Aku kenal suara tu, suara yang tak mungkin aku akan dengar sampai bila-bila. Aku segera menoleh. Dan sekali lagi aku tergamam.

“Tidak!” Giliran aku pula menjerit, terkejut melihat Sara. 

Serentak itu terasa tubuh aku lemah selemahnya. Dua kejutan dalam masa yang sama. Mana mungkin mampu aku menerimanya. Ayah yang sudah meninggal dunia tiba-tiba muncul di ruang makan dan adik aku Sara tiba-tiba sahaja menjadi budak kecil!

Tiba-tiba saja pandangan aku mula gelap-gelita. Hanya kedengaran suara emak memanggil-manggil nama aku.

Bersambung


Popular Posts