Follow me

Instagram

Monday, 27 January 2014

Bab 4 : Mesej de' Paris

Bab 4





“Aku nak kemas barang-barang lukisan ni dulu,” ujar Jason pada Sophia.
“Kalau macam tu biar aku tolong,” Sophia segera meluru ke arah Jason.
“Erkkk… tak payah.”
Jason mengangkat tangan menghalang Sophia dari menghampirinya. Dia memang tak suka orang lain sentuh barang lukisannya.
Wajah Sophia berkerut, tak puas hati. “Habis tu aku nak buat apa ni?”
“Dah senja, elok kau balik sebelum malam,” balas Jason tanpa menoleh pada Sophia yang mula menarik wajah merajuk.
“Jason…” panggil Sophia dengan suara mendatar.
Jason menoleh, sebelah tangannya memegang tungkul bersiap sedia untuk memaku dinding.
“Bagi aku peluang.” Sambung Sophia dengan wajah sayu.
Jason menghela nafas perlahan. Dia faham maksud Sophia itu, tapi…
“Kau banyak tolong aku kemas hari ni. Balik lah. Esok kau ada kelas kan?”
Sophia tarik muka merajuk, lekas-lekas berjalan ke arah pintu lalu menarik baju kot yang tergantung di tepi pintu. Sebelum melangkah keluar sempat dia menoleh pada Jason.
“Jangan kau menyesal nanti!” kemudian dia terus melangkah keluar lalu menghempas daun pintu.
Jason tergamam, tak pernah-pernah dia tengok Sophia mengamuk macam tu. Selalunya Sophia buat tak endah saja kalau dia layan acuh tak acuh. Biarlah, elok juga Sophia merajuk aman sikit hidup dia di rumah baru ni. Kalau tidak, mahunya setiap hari Sophia akan muncul depan pintu rumah.
Jason menapak ke arah timbunan lukisan yang disandarkan pada dinding. Mujur juga Sophia merajuk. Kalau tak dia pun rasa tak selesa. Sudah lah berada di rumah baru, tinggal berdua dengan Sophia… memang awkward! Kalau dulu mama ada, tak terasa sangat janggalnya.
Jason dan Sophia memang berkawan dari kecil lagi. Dia orang memang rapat, cuma sejak Jason dapat tahu Sophia menaruh hati kepadanya. Dia cuba menjarakkan hubungan mereka. Walau macam mana baik sekali pun Sophia, dia tetap tak dapat nak menyambut cinta yang dihulurkan.
Dia tak cintakan Sophia. Sophia tak mampu menjadi sumber inspirasinya. Bagi Jason, wanita yang patut dia cintai adalah wanita yang mampu mencetus inspirasi dan keghairahannya dalam berkarya.
Dan, Sophia bukanlah orangnya.
Bukan dia tak pernah cuba, pernah dalam diam dia cuba untuk mencintai Sophia, tapi dia tak mampu memaksa diri. Jadi, jalan terbaik biarlah mereka berkawan saja.
 Jason mula memaku dinding. Di setiap dinding studio apartment seluas 700 kaki itu digantung lukisan-lukisan yang menjadi kesayangannya, dah jadi macam galeri lukisan!
 Selesai menggantung lukisan hadiah dari arwah ayahnya dia termenung seketika. Memerhati keindahan lukisan Eiffel tower di waktu senja. Lukisan itu memang dari kecil sudah ada tergantung di rumah mereka. Menurut ayah, lukisan itu adalah satu-satunya harta warisan keluarga mereka yang sangat berharga. 
Pernah beberapa kali peminat lukisan meminta untuk membelinya, namun nenek moyang mereka tak mahu menjualnya. Termasuk ayahnya. Berkali-kali juga kawan ayah meminta lukisan itu dan sanggup membayar dengan harga yang tinggi, tapi ayah tak mahu.
Bagi mereka menjual lukisan warisan keluarga sama seperti menjual harga diri. Lagi pun… menurut ayah, lukisan itu ada kisah menarik di sebaliknya. Jason sendiri pun tak tahu kisah apakah yang menarik itu. Kata ayah, dia akan bercerita kisah lukisan itu kepada Jason apabila Jason dewasa kelak, namun malangnya… ketika usia Jason 12 tahun, ayahnya pergi untuk selama-lamanya dan kisah lukisan itu turut tenggelam bersama jasad ayahnya.
Jason menarik nafas dalam. Apabila teringatkan ayah hati dia memang perit. Dia memang manja dengan ayahnya. Dia minat melukis pun kerana ayah. Keturunan mereka memang berdarah seni. Semua pandai melukis. Ayah anak tunggal. Atuk dan nenek sudah lama meninggal ketika dia masih kecil. Jadi sekarang hanya tinggal dia dan ibu meneruskan kehidupan di tanah air ayah.
Ibunya, Amina Hakim berbangsa melayu tetapi sudah memiliki taraf penduduk tetap Perancis. Ibu tak pernah bersuara pun tentang keluarganya tapi Jason dah tahu segala-galanya. Dia pernah membaca diari ibu ketika dia sedang bersedih menerima berita pemergian ayah. Kebencian ibunya menjadi kebenciannya.
Jason melangkah ke beranda, melihat pemandangan Bandar Paris dan sayup-sayup terlihat menara yang menjadi lambang kemegahan tanah airnya.

“Eiffel, bonne idée!”

Bersambung

Thursday, 23 January 2014

Delete Scene 1 : Mencari Mr Charming - Si comel Yaya

Tak sangka, dalam ramai2 yg baca MENCARI MR CHARMING ada seorang tanya saya, kenapa scene si comel Yaya sikit je.. hahaha.. serius saya tak sangka akan ada org tanya. Sbb saya dan editor dah berbincang scene Yaya kena delete sebab nak elak dari meleret... so... demi seorang yg bertanya itu... saya tepek scene asal SI COMEL YAYA kat sini... enjoy!



Bayangkan Yaya ni adalah adik Balqis ni yaa..

Babak :  Fazrin bawa Lara ke rumah kakaknya


“Auntie nama siapa?”
“Lara Alisya.”
“Emmm… cantik.”
Sebelah kening aku terangkat. Mana dia belajar nak puji nama cantik ni?
“Auntie, ini Barbie Yaya. Cantik kan? Nama dia Tailer sweet.”
“Siapa nama dia?”
“Tai… ler… sweet.” Bersungguh-sungguh dia sebut. Siap terkeluar lidah nak sebut T kat belakang nama tu.
“Tylor Swift?” Tanya aku untuk kepastian.
“Aha.” Dia angguk sambil belek-belek patung Barbie di tangan. “Cantik kan? Rambut dia macam rambut auntie, panjang, cantik. Tengok muka dia. Bulat macam muka auntie juga. Mata dia pun sama macam mata auntie.” Ujar dia sekejap pandang Barbie di tangan sekejap pandang muka aku.
Adoi la. Kalau Fazrin ada ni mahu muntah darah dia bila dengar anak saudara puji aku secomel patung Barbie tu. 
“Auntie ada baby?”
“Patung ni?” Tanya aku.
“Bukan. Baby. Baby kecil tu.”
“Erkk… tak ada.”
“Kenapa?” Tanya dia.  Merenung wajah aku. 
Dia tanya aku kenapa?
“Emmm… sebab… auntie belum kahwin.” Dia faham ke?
“Kenapa auntie tak kahwin?”
Alah sudah! Budak ni memang betul anak saudara si Fazrin lah! Mulut tak reti nak duduk diam!
“Sebab… emmm… belum ada jodoh.”
“Jodoh tu apa?”
Haish… aku dah garu kepala. Nak bagi jawapan main-main kan, nanti kalau dia tanya mak dia naya aku.
“Jodoh tu pasangan untuk auntie lah.”
“Pasangan tu apa?” Dahi Yaya berkerut.
Aduhai! Aku tepuk dahi. “Emmm… macam mama dan papa.”
“Ooo… jadi auntie dengan uncle pun pasangan lah?”
“Eh, tak.. tak…”
“Kenapa?”
“Auntie dan uncle kawan aje.”
“Kawan tak boleh kahwin?” Tanya dia dengan jujurnya. Waaa… aku dah rasa nak menangis! Kenapalah petah sangat ni!
“Boleh… tapi…”
“Auntie kahwin la dengan uncle. Mesti mama suka. Tadi kan… mama tanya uncle kenapa tak nak kahwin. Mama suruh uncle kahwin dengan auntie.”
“Hah?” Melopong aku. Boleh percaya tak cakap budak kecik ni?
“Emmm… sebab mama tak suka auntie cantik. Mama kata suka auntie comel.” Jawab Yaya dengan wajah bersungguh-sungguh.
“Erkkk… he… he… auntie cantik pernah datang sini?” Cewahh… cuba korek rahsia.
Dia angguk. “Pernah, sekali.” Dia tunjuk jari telunjuknya.
“Cantik kan?”
“Emmm.. cantik. Bulu mata dia panjanggg… kuku dia warna pink dan panjang… Yaya pun nak kuku warna pink. Tapi, mama kata tak baik warna kuku nanti Tuhan marah.” Cerita dia tanpa rasa bersalah.
Aku tergelak kecil.
“Kuku auntie tak ada warna, mesti Tuhan tak marah kan?”
“Erkk… aha.” Aduhai. Terkelu lidah aku nak melayan budak ni. “Mana abang?” Tanya aku, kalau aku tak kawal perbualan ni memang naya aku nak jawab semua soalan dia.

“Ada. Dekat belakang, camping. Jom!” Tiba-tiba dia teruja. Bingkas bangun kemudian tarik tangan aku.

Tamat

Tuesday, 21 January 2014

Delete Scene 1 : Terukir Cinta

Babak :  Ketika Nadia ambil gambar Khalif di hentian bas.

Scene : Di rumah - Ketika Yati dan Hara menerima mesej dari Nadia.


Serentak Telefon Yatie dan Hara berbunyi, tanda mesej masuk ke telefon bimbit masing-masing. Yatie yang sedang asyik menonton rancangan tv segera mencapai telefon bimbitnya. Begitu juga dengan Hara yang sedang membelek majalah.

"What the!" jerit keduanya serentak

Yatie dan Hara saling berpandangan.

"Haiyak! Minah ni buat hal lagi ka!" Hara membebel.

"Siapa lelaki ni?" Yatie mula cemas. "Lelaki ni buat apa kat dia? Dia kat mana sekarang ni?"

Budak dua orang ni memang dah biasa sangat dengan karenah 'angsangkarable' Nadia. Cuma kali ini dia orang agak terkejut melihat gambar lelaki serabai yang terpampang depan mata. Mamat mana pula yang jadi mangsa ni? Apa pula kes kali ni?

Opss... ini bukan kali pertama Nadia buat hal yang bukan-bukan. Nampak je sweet dan blurr tapi, nakal tak hinggat! Sebelum ini selamba badak Nadia hijack janji temu bekas teman lelaki Yatie. Semua gara-gara dia mahu bekas teman lelaki Yatie putus cinta dengan kekasih barunya. Sanggup dia  letak bantal dalam baju kononnya dia sedang mengandungkan anak lelaki tu. Huru-hara One Utama dengan drama tiga segi mereka bertiga.

Kali ini apa pula agaknya?

"Beb call dia sekarang!" gesa Yatie.

Lekas-lekas Hara belek telefon bimbitnya kemudian meletakkan telefon di telinga.

"Errkk... voice mail lah," Hara memandang Yatie.

Yatie menelan air liur.

"Nak call polis semarang ke?" tanya Yatie.

"Tapi dia pesan, kalau dia tak sampai rumah," balas Hara. "Lagi pun, kalau nak report polis kena 24 jam dulu."

"Haish... risau sungguh! Siapa lelaki ni? Apa dia dah buat kat Nad?"Yatie garu kepala.

"Persoalannya, bukan apa mamat ni buat kat Nad. Tapi Nad tu, apa dia dah buat dekat lelaki ni. Ni mesti mamat ni dah mengamuk."

"Weh, call Imran. Sepatutnya dia balik dengan Imran kan petang ni?" Yatie memandang jam dinding. hampir pukul lapan malam.

"Wei Imran, kau dengan Nadia ke sekarang?" tanya Hara sebaik saja panggilannya bersambut.

"Tak."

"Kau kat mana?" tanya Hara lagi.

"Rumah lah."

"Kenapa kau tak hantar Nadia balik hari ni?"

"Dia merajuk."

"Merajuk pasal apa?"

"Haish, adalah. Hal kami."

"Habis tu dia kat mana sekarang?"

"Tadi ada kat bus stop."

"Kau tak pujuk dia?"

Imran mendengus kasar, "dah."

"Dah tu, mana dia?" dahi Hara berkerut.

"Tak berjaya pujuk."

"Habis tu, kau tinggal dia dekat bus stop macam tu je?" suara Hara meninggi.

"Dah dia tak nak balik dengan aku. Takkan aku nak tarik dia masuk dalam kereta pula. Nanti orang kata aku nak culik dia pula."

"Huh! kau ni! Dah tu kalau orang lain culik dia tak apa lah?" jerit Hara geram.

"Kau kecoh ni kenapa?"

"Dia tak sampai rumah lagi nih! Dah pukul berapa ni!"

"Ala, sekejap lagi dia sampai lah tu. Dia dah besar, pandai-pandai lah cari jalan balik."

"Cakap dengan kau memang menyakitkan hati! Aku tak tahu apa yang Nadia sayang sangat dengan kau!" Hara segera mematikan panggilannya.

"So, macam mana ni?" tanya Yatie


Hara menjungkit bahu.



Scene :  dalam kereta ketika Khalif berjaya pujuk Nadia nak hantar balik



Alamak, bateri habis pulak! 

Tangan aku terus menggagau mencari power bank. Haish, mana pula ni? Jangan tertinggal atas meja pejabat sudah. Fuhh... nasib baik ada. Sebaik saja aku on telefon bertalu-talu pesanan ringkas masuk.

Kau buat aku cemas ni. Kau dekat mana sekarang? - Hara

Nak aku report polis sekarang ke? - Yatie

Aku ketawa geli hati. Mengelabah je dia orang ni, kemudian terus membalas pesanan dia orang.

Kau orang jangan risau aku okey. Tengah tunggu bas nak balik ni.

Siapa mamat tadi? Dia buat benda tak senonoh kat kau ke?

Mat gian a.k.a mat ragut

Sejurus kemudian Telefon aku berbunyi.

"Dia ragut beg kau ke?"

"Tak lah!" aku ketawa kecil.

"Boleh pula nak gelak-gelak, habis tu dia buat apa?" suara Yatie kedengaran cemas.

"Alah, nanti balik aku cerita ya."

"So kau selamat la ni?" terdengar suara Hara bertanya.

"Ya. Aku selamat, jangan risau. Tak ada apa-apa terjadi. Okey, betri telefon aku dah nazak ni, bye!"

Segera aku mematikan panggilan tersebut. Namun tak sampai beberapa saat terdengar pesanan ringkas masuk. Nak tak nak terpaksa juga aku melayan mesej budak berdua tu. Setelah beberapa kali berbalas pesanan, telefon aku kembali sunyi.

"Hai seorang je?" tiba-tiba terdengar suara menegur.

Aku menoleh. terlihat dua orang budak remaja sedang memerhati aku.

Shoot!


(sambung kat novel yer...)


Monday, 20 January 2014

Bab 2 & 3 : Mesej de' Paris

Bab 2




Jason Adam membuka pintu jendela. Angin dingin menerpa masuk. Dia terus berdiri di situ melempar pandangan ke luar jendela. Memerhati pemandangan kejiranan barunya. Menarik. Terlihat pemandangan bangunan Bandar Paris, nun sayup di sana terlihat menara Eiffel yang kelihatan hanya sebesar sebatang mancis.
Walau pun apartment ini tidak sebesar rumahnya sebelum ini, namun dia masih bersyukur kerana pemandangannya memang mempersonakan. Dia masih mampu melihat langit yang membiru dan matahari yang memancar. Dia menarik nafas tenang kemudian matanya beralih, melihat bunga Daisy, bunga tulip yang ditanam dalam pasu yang disusun sederet di luar beranda studio apartment miliknya.
“Okey.” Akhirnya dia bersuara setelah agak lama berdiam diri.
“Okey, kau terima?” tanya Azri.
“Yup,” Jason mengangguk.
“Walau pun berganda-ganda kecil dari rumah kami dulu, tapi masih menarik. Sangat sesuai untuk aku dan mama,” ujar Jason perlahan. Terbit rasa sayu saat perkataan ‘mama’ terkeluar dari bibirnya.
“Betul kau tak mahu ikut aku balik?” tanya Azri entah kali keberapa.
Sekali lagi Jason mengangguk.
 “Mungkin kau boleh minta bantuan mereka biayai kos rawatan mak kau,” pujuk Azri lagi.
“Berapa kali aku cakap, aku tak ada saudara-mara di sana.”
“Air dicincang tak akan putus, Jason.”
“Masalahnya sekarang ini… air longkang, bila dah masuk dalam sungai Seine memang kita dah tak tahu dari mana punca air tu sebab semua dah bercampur dalam satu sungai!” Jason mendengus nafas kasar.
Hati dia memang sakit bila isu keluarga dan saudara dibawa berbincang. Sudah berapa kali dia bagi tahu Azri yang dia tak mungkin mencari kaum keluarga belah ibunya yang sanggup membuang anak hanya kerana berkahwin dengan lelaki bangsa asing. Sungguh sempit pemikiran mereka!
Honey, lukisan ni nak letak dekat mana?” muncul Sophia, gadis yang sudah lama menaruh hati pada Jason.
“Letak dekat situ, nanti aku gantung,” jawab Jason turut membalas pertanyaan itu dengan bahasa ibunda mereka.
 “Bila lagi? Kesian Sophia,” Soal Azri tetap mengunakan dalam bahasa Melayu ketika berbual dengan Jason. Mungkin dengan cara itu saja dia boleh menyedarkan Jason, bahawa separuh dari darah temannya itu adalah darah Melayu.
“No way!” getus Jason.
Azri ketawa.
“Bukan senang nak dapat yang setia macam Sophia. Kau buat macam mana pun dia cool je,” usik Azri lagi.
“Dah, jangan sampai aku halau kau sekarang,” gertak Jason sekadar mengusik.
Azri mengekek. “Okey, jadi, aku balik seorang diri lah ni?” tanya dia sekali lagi.
“Yup. Sorry bro… nanti bila mama dah okey baru aku boleh ikut kau. Nak juga aku merasa nikmat berada di Malaysia.”
“Rugi. Balik nanti aku ada exhibition. Kalau kau datang aku ingat nak kenalkan kau dengan potensi penaja. Mungkin rezeki kau di Malaysia.” Azri cuba memancing.
Jason ketawa kecil. “No! Akan terus berada di tanah tumpah darah aku. Walau terpaksa minta sedekah sekali pun, aku akan berkarya di sini.” Jason bersuara serius.
“Okey, tapi kalau kau perlukan apa-apa bantuan jangan segan hubungi aku,” pesan Azri lagi.
“Sudah pasti bro dan terima kasih banyak-banyak sebab bantu aku selama kau berada dekat sini,” ucap Jason terharu.
“Aku bantu kau? Bukan ke kau yang banyak bantu aku?” Azri tersenyum kecil.
 “Yup, mungkin secara mata kasar nampak macam aku banyak tolong kau. Tapi, secara dalaman… kau yang banyak bantu aku untuk terus bertahan dan bangkit kembali.”
“Tak apa. Itulah gunanya kawan.” Balas Azri terharu. “Okey, aku gerak dulu. Nanti tertinggal flight mahu meraung mak aku tunggu dekat KLIA.”
Jason ketawa. “Sampaikan salam aku pada mak kau. Satu hari nanti aku akan ke sana. Mungkin masa kau kahwin,” usik Jason.
Azri ketawa. “Selamat tinggal sahabat.” Lantas mereka berpelukan, bersalaman untuk kali terakhir.
“Setiap pertemuan ada perpisahan, setiap perpisahan ada pertemuan. Semoga jumpa lagi,” ucap Azri sebelum beredar.




Bab 3


~ If you had one chance to be with your soul mate, would you fight for it? ~




Mata aku liar memerhati sekeliling macam tak percaya, kenapa rumah punya cantik macam ni tapi sewanya murah? Perabotnya cukup lengkap. Hiasan semua cantik, kelengkapan dapur cukup lengkap. Aku cuma lenggang-kangkung je masuk dalam rumah ni. Hairan, tapi…
“Okey.”
Aku cuba mengawal riak wajah teruja.
 “Kau suka?” wajah Lisa kelihatan seperti terkejut.
“Ya,” balas aku acuh tak acuh.
Kalau nak bandingkan dengan kondo aku dulu memanglah jauh beza. Tapi, untuk permulaan flat ini pun dah cantik. Lagi pun, elok juga aku menyewa rumah yang murah nanti boleh buat simpanan. Kalau sebelum ni kondo lama tu memang mahal melampau. Konon nak merasa hidup di kawasan elit, sudahnya tiap-tiap bulan duit aku licin.
“Alhamdulilah,” Lisa mengaminkan tangannya. “Aku dah sedia beberapa rumah lain, kalau-kalau kau tak suka rumah ni.”
“Tak apa. Aku dah suka rumah ni. Lagi pun kawasan ni sunyi sikit nak bandingkan dengan kawasan perumahan lain. Pemandangan pun cantik.”
Aku melempar pemandangan ke luar jendela. Terlihat sayup pemandangan Bandar raya Kuala Lumpur. Menara berkembar KLCC kelihatan sebesar dua batang mancis. Tak apa lah, sekurang-kuranganya masih ada depan mata walau pun tak mampu berada di situ.
Selepas berdiam diri agak lama. Setelah beberapa kotak buku berjaya dibuka dan disusun di rak, akhirnya mulut aku tak mampu bertahan lagi. Aku kena tanya juga!
 “Beb…” aku bersuara perlahan.
Lisa mengangkat wajah.
“Kenapa sewa rumah ni rendah sangat?”
Lisa merenung aku.  Riak wajahnya seperti tak sangka aku akan bertanyakan soalan tu.
“Emm… rumah ni kawan bos aku punya. Kawan dia ke luar Negara, jadi dari dibiar kosong dia suruh bos aku cari penyewa,” jelas Lisa.
Walau pun kami bekerja di syarikat yang sama tapi bos aku dengan bos dia memang orang yang berbeza. Aku bekerja di bahagian studio, dia pula di bahagian admin.
“Kejap lagi Mr Lim sampai bawa dokumen. Dia yang urus urusan sewa tempat ni,” sambung Lisa.
“Emmm…” Aku mengangguk sambil mata terus memerhati lukisan yang tergantung di dinding.
Emmm… mesti pemilik rumah ini peminat lukisan. Di setiap sudut tergantung lukisan. Macam-macam lukisan ada. Tapi dalam banyak-banyak lukisan, mata aku tertarik dengan sebuah lukisan pemandangan Eiffel Tower dari jarak jauh. Berlatar zaman dahulu. Terdapat gambar seorang gadis dari pandangan sisi memakai skrit kembang, rambut ikal diikat kemas sedang asyik membaca sebuah buku di bangku. Langit berwarna jingga-putih dan biru kehijauan sangat mempesonakan.
Aku terpegun seketika, lukisan itu seolah-olah hidup. Tangan gadis itu seakan-akan bergerak membelek helaian buku di tangan. Seakan terlihat rambutnya bergerak dan Daun-daun berterbangan ditiup angin.
Sangat damai!
“Beb… Mr Lim dah sampai.”
Suara Lisa mengejutkan aku dari lamunan. Segera aku menoleh ke arah pintu masuk.
“Hai…” sapa Mr Lim, tersengih-sengih.
Lelaki dalam lingkungan 40-an, rambut hitam lebat. Berkaca mata kecil.
“Maaf ya, jalan jem,” sambung Mr Lim lagi lantas menyerahkan sampul surat kepada Aku.
Belum sempat aku membuka sampul surat itu dia kembali bersuara…
“Sain terus ya, saya nak cepat.” Wajah dia kelihatan seperti cemas.
Aku mencemik. Dia yang datang lambat lepas tu nak kelam-kabut. Aku segera membuka sampul surat, mengeluarkan surat perjanjian. Membaca satu persatu kontrak sewa rumah. Namun sebaik saja melihat baris akhir dokumen itu mata aku terbuntang.
“Setahun?”
Terkejut aku tengok syarat perjanjian yang meminta aku menyewa selama setahun, jika kurang setahun duit pendahuluan akan hangus. Ini memang melampau!
“Iya, kenapa?” tanya Mr Lim.
“Mana aci macam ni. Kalau dua tiga bulan lagi saya dapat kerja kat negeri lain macam mana? Takkan kena bayar sewa rumah ini juga?”
“Kau cari kerja lain ke?” Lisa mencelah.
Aku menjegilkan mata.
“Ini perjanjian. Kalau tak suka cari rumah lain la,” jawab Mr Lim dengan nada suara yang agak angkuh.
“Tak boleh lah macam ni. Nanti menyusahkan saya.”
“Jadi you tak mahu?” Dia menaikan kening, mata sepetnya terbeliak.
Melihat wajah Mr Lim yang menjengkelkan itu macam sengaja minta pelempang dari aku je ni!
“Beb, terima je. Nanti aku cuba slow talk dengan bos aku,” Lisa menjeling pada Mr Lim.
Aku menarik nafas dalam. Macam mana nak setuju kalau perjanjian ni boleh menjerat diri aku sendiri. Lagi pun aku sendiri tak pasti selama mana aku akan bertahan dengan rumah ni. Mahunya jalan ke tempat kerja jem teruk, tak ada makna aku nak tinggal dekat sini sampai setahun!
“Sain saja lah. Mana nak dapat rumah cantik macam ni tapi sewa rendah,” pujuk Lisa lagi.
“Betul-betul. Ini rumah memang hot. You tak mau ar… bersusun orang lain tunggu mau masuk tau!”
“Dah kalau hot kenapa sewa rendah sangat? Macam tak laku je? Dah tu suruh sain selama setahun, nampak sangat macam terdesak. Ke… rumah ni, ada orang mati dibunuh?” Kan aku dah celupar.
“Haiyak! You punya mulut kasi katup lah!” Terbuntang mata Mr Lim pandang aku. Wajah dia tiba-tiba cemas, matanya melilau memandang sekeliling.
“Cakap sikit dah takut?” Aku tersenyum sinis.
“Haish, cepatlah sain. Saya nak cepat ni,” gesa Mr Lim kelihatan resah.
“Yalah… yalah…” aku mencapai beg tangan, mencari pen. “Tapi betul ar, memang tak ada kes mati dibunuh kat rumah ni?” tanya aku lagi sekadar mengusik.
“Kau ni!” marah Lisa, berhenti mengeluarkan barang dari kotak. Mencerlung memandang aku.
Mata Mr Lim dah bulat, macam nak tercabut dari soket matanya. Aku ketawa kecil kemudian segera menurunkan tanda tangan dan menyerahkan dokumen itu kepada Mr Lim.
“Okey, thank you. Jumpa setahun kemudian,” ujar Mr Lim tergesa-gesa keluar.
“Apa hal dia tu? kelam-kabut semacam je.” Aku mencemik.
“Biarlah.” Sahut Lisa yang sedang mengemas barang aku yang tak berapa banyak itu.
“Beb, malam ni teman aku,” ujar aku, tiba-tiba rumah ni terasa sunyi amat.
“Esok aku kerja lah.”
“Dah tu aku tak kerja?”
Lisa tersengih.
“Huh! Nak keluar dating lah tu!” aku mencebik.
Sorry beb, esok kita jumpa ya.”
Aku menarik wajah masam. Selepas bersalaman dia segera melangkah keluar maka tinggal lah aku seorang diri dalam rumah yang comel ini.
Nak kemas apa dulu ya?


 Bersambung...

Popular Posts